Yeremia 51:37-49 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

37. Negeri itu akan menjadi timbunan runtuhan yang didiami binatang liar. Keadaannya akan mengerikan; orang tidak akan tinggal di situ, dan semua orang ngeri melihatnya.

38. Penduduk Babilonia mengaum seperti singa, dan menggeram seperti anak singa.

39. Sementara nafsu makan mereka memuncak, Aku akan menjamu mereka, dan menjadikan mereka mabuk dan pening. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.

40. Aku akan membawa mereka supaya disembelih seperti anak domba, domba jantan, dan kambing. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

41. TUHAN berfirman, “Kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan! Babel sudah menjadi tempat yang menggerunkan bagi bangsa-bangsa!

42. Laut telah meluap ke Babel dan meliputinya dengan ombak yang bergemuruh.

43. Kota-kota di negeri itu menggerunkan; keadaannya seperti gurun yang tidak berair, yang tidak didiami atau dilalui oleh sesiapa pun.

44. Aku akan menghukum Bel, dewa negeri Babilonia, dan membuatnya menyerahkan barang-barang curiannya. Bangsa-bangsa tidak akan menyembahnya lagi.Tembok kota Babel sudah roboh.

45. Hai umat Israel, larilah dari situ! Selamatkanlah diri daripada kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar.

46. Jangan takut atau hilang keberanian kerana mendengar khabar angin. Setiap tahun ada sahaja khabar angin - khabar angin tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang.

47. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala Babilonia. Seluruh negeri itu akan dipermalukan, dan semua rakyatnya dibunuh.

48. Segala sesuatu di bumi dan di langit akan bersorak apabila negeri Babilonia jatuh ke tangan bangsa dari utara yang datang untuk memusnahkannya.

49. Babilonia telah menyebabkan kematian orang dari seluruh dunia; tetapi sekarang Babilonia akan jatuh, kerana menyebabkan kematian banyak sekali orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

Yeremia 51