18. TUHAN berfirman, “Tetapi pada masa itu pun Aku tidak akan memusnahkan umat-Ku sama sekali.
19. Apabila mereka bertanya sebabnya Aku melakukan semua itu, katakanlah hai Yeremia, bahawa sebagaimana mereka meninggalkan Aku di negeri mereka sendiri lalu mengabdikan diri kepada dewa-dewa bangsa lain, begitu juga mereka akan mengabdikan diri kepada bangsa asing di tanah yang bukan negeri mereka.”
20. TUHAN berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub yang tinggal di Yehuda:
21. Dengarlah, hai kamu orang bodoh dan tolol! Kamu mempunyai mata tetapi tidak melihat; mempunyai telinga tetapi tidak mendengar!
22. Akulah TUHAN; mengapa kamu tidak takut akan Aku? Mengapa kamu tidak gementar di hadirat-Ku? Aku menjadikan pantai sebagai perbatasan laut yang tidak dapat dilampaui selama-lamanya. Laut dapat bergelora dan gelombang dapat mengamuk, tetapi tidak dapat melintasi perbatasan itu.