Yeremia 38:3-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Aku juga memberitahu mereka firman TUHAN bahawa Dia akan menyerahkan kota ini kepada tentera Babilonia, dan mereka akan merebut kota ini.

4. Lalu pegawai-pegawai itu menghadap raja dan berkata, “Orang ini mesti dihukum mati. Oleh sebab ucapannya itu, tentera kota ini akan lemah semangat, demikian juga setiap orang yang masih tinggal di kota ini. Dia tidak menolong rakyat; sebaliknya dia menyusahkan mereka.”

5. Raja Zedekia bertitah, “Baiklah, perlakukan dia sesuka hati kamu. Beta tidak dapat menghalang kamu.”

6. Oleh itu mereka membawa aku dan menurunkan aku dengan tali ke dalam perigi Putera Malkia. Perigi itu terletak di halaman istana. Perigi itu tidak berair, hanya berlumpur, lalu aku pun masuk ke dalam lumpur itu.

7. Tetapi orang Etiopia yang bernama Ebed-Melekh, iaitu sida-sida yang bekerja di istana, mendengar bahawa aku telah dimasukkan ke dalam perigi oleh pegawai-pegawai itu. Pada masa itu raja sedang memimpin mesyuarat di Pintu Gerbang Benyamin.

8. Ebed-Melekh pergi ke sana dan berkata kepada raja,

9. “Tuanku, perbuatan para pegawai itu salah. Mereka memasukkan Yeremia ke dalam perigi dan tentu dia akan mati kelaparan di sana kerana makanan sudah habis di kota ini.”

10. Selepas itu raja memerintah Ebed-Melekh supaya membawa bersama-samanya tiga orang untuk menarik aku keluar dari perigi itu sebelum aku mati.

11. Ebed-Melekh pergi bersama-sama ketiga-tiga orang itu ke stor istana dan mengambil kain-kain lama, lalu menurunkannya dengan tali kepadaku.

12. Dia menyuruh aku meletakkan kain-kain itu di bawah ketiakku, supaya aku tidak kesakitan apabila aku ditarik ke atas dengan tali itu. Aku pun melakukannya,

13. lalu mereka menarik aku keluar dari perigi itu. Sejak itu aku ditahan di halaman istana.

14. Pada suatu masa yang lain, Raja Zedekia memerintah aku menghadap baginda di pintu ketiga di Rumah TUHAN. Raja bertitah, “Beta hendak menanyakan satu soalan, dan engkau mesti berterus terang. Jangan sembunyikan apa-apa daripada beta.”

15. Aku menjawab, “Jika hamba berterus terang, tuanku akan menjatuhkan hukuman mati kepada hamba; dan jika hamba memberikan nasihat, tuanku tidak akan mempedulikannya.”

Yeremia 38