14. Kemudian para pegawai itu memerintah Yehudi (anak Netanya, cucu Selemya anak Kusyi) supaya menyuruh Barukh membawa naskhah gulungan yang telah dibacakannya kepada rakyat. Barukh membawa naskhah itu kepada mereka.
15. Mereka berkata, “Sila duduk, dan bacakanlah naskhah gulungan itu kepada kami.” Barukh pun membacakannya.
16. Selepas itu, mereka saling memandang dengan cemas lalu berkata kepada Barukh, “Kami mesti melaporkan hal ini kepada raja.”
17. Mereka bertanya kepadanya lagi, “Katakanlah, bagaimana kamu dapat menulis semuanya ini? Adakah Yeremia mengimlakkannya kepadamu?”
18. Barukh menjawab, “Yeremia mengimlakkan tiap-tiap perkataan itu kepada saya, lalu saya menulisnya dengan dakwat pada naskhah ini.”
19. Kemudian mereka berkata kepadanya, “Kamu dan Yeremia mesti bersembunyi. Jangan biar sesiapa pun mengetahui tempat persembunyian kamu.”
20. Para pegawai menyimpan naskhah gulungan itu di dalam bilik Elisama, setiausaha itu, lalu pergi melaporkan semua hal itu kepada raja.
21. Selepas itu raja menyuruh Yehudi mengambil naskhah itu dari bilik Elisama dan membacakannya di hadapan raja serta semua pegawai yang berdiri di sekeliling raja.
22. Masa itu musim sejuk, dan raja sedang duduk di depan perapian di istana musim sejuk.
23. Setelah Yehudi membaca tiga atau empat lajur, raja memotong bahagian itu dengan sebilah pisau kecil dan membuangnya ke dalam api. Raja melakukan hal itu terus-menerus sampai seluruh naskhah gulungan itu dibakar.
24. Tetapi baik raja mahupun pegawai-pegawainya yang mendengar semua itu tidak takut atau menunjukkan penyesalan.
25. Walaupun Elnatan, Delaya, dan Gemarya memohon kepada raja agar naskhah itu tidak dibakar, raja tidak mempedulikan mereka.
26. Kemudian raja memerintah Putera Yerahmeel, Seraya anak Azriel, dan Selemya anak Abdeel untuk menangkap aku serta Barukh, setiausahaku, tetapi TUHAN menyembunyikan kami daripada mereka.