Yeremia 32:7-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. bahawa Hanameel, anak lelaki bapa saudaraku Salum, akan datang kepadaku untuk minta supaya aku membeli tanahnya di Anatot, di wilayah Benyamin. Akulah sanaknya yang terdekat dan yang berhak membeli tanah itu.

8. Tepat seperti yang telah difirmankan TUHAN, Hanameel datang kepadaku di halaman istana, dan minta supaya aku membeli tanahnya. Dengan itu yakinlah aku bahawa TUHAN benar-benar telah berfirman kepadaku.

11. Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai.

12. Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu.

13. Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh,

14. “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama.

15. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.”

16. Selepas aku memberikan surat-surat pembelian itu kepada Barukh, aku berdoa,

17. “Ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menciptakan langit dan bumi dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Tiada yang terlalu sukar bagi-Mu.

18. Engkau menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada beribu-ribu orang, tetapi Engkau juga menghukum orang kerana dosa ibu bapa mereka. Engkaulah Allah yang agung dan perkasa; Engkaulah TUHAN Yang Maha Kuasa.

19. Rancangan-Mu bijak dan perbuatan-Mu ajaib; Engkau nampak segala yang dilakukan manusia, dan membalas mereka setimpal dengan perbuatan mereka.

Yeremia 32