Yeremia 32:24-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

24. Orang Babilonia telah membina tambak pengepungan di sekeliling kota untuk merampasnya, dan sekarang mereka sedang menyerangnya. Pertempuran, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan mereka. Engkau nampak bahawa semua yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan.

25. Namun demikian, ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menyuruh aku membeli tanah di hadapan beberapa orang saksi, walaupun sebentar lagi kota akan ditawan oleh orang Babilonia.”

26. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku,

27. “Akulah TUHAN, Allah segenap manusia. Tiada yang terlalu sukar bagi-Ku.

28. Aku akan menyerahkan kota ini kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Mereka akan merampas kota ini,

29. dan membakarnya. Mereka akan membakarnya sampai habis bersama dengan rumah-rumah orang yang membangkitkan kemurkaan-Ku. Di bumbung rumah-rumah itu mereka telah membakar kemenyan kepada Baal dan mencurahkan wain sebagai persembahan kepada dewa-dewa.

30. Sejak permulaan sejarah mereka, orang Israel dan orang Yehuda tidak menyenangkan hati-Ku, dan mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan perbuatan mereka.

31. Sejak kota ini dibina, penduduknya telah menyebabkan Aku sangat murka. Aku telah mengambil keputusan untuk memusnahkan kota itu,

32. kerana segala kejahatan yang dilakukan oleh orang Yehuda dan orang Yerusalem, bersama-sama raja dan para pemimpin, para imam dan nabi mereka.

33. Mereka telah membelakangi Aku dan walaupun Aku terus mengajar mereka, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran.

34. Malah Rumah-Ku yang dibina untuk tempat beribadat kepada-Ku telah dinajiskan oleh mereka dengan meletakkan berhala-berhala mereka yang menjijikkan di tempat itu.

35. Mereka membina mazbah-mazbah untuk Baal di Lembah Hinom, dan mempersembahkan anak-anak mereka kepada Dewa Molokh. Padahal, Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal itu, bahkan tidak pernah timbul dalam fikiran-Ku bahawa mereka akan melakukan perbuatan sekeji itu dan menyebabkan orang Yehuda berdosa.”

36. TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku.

37. Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat.

Yeremia 32