Yeremia 25:12-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Selepas itu Aku akan menghukum orang Babilonia dan raja mereka kerana dosa mereka. Aku akan memusnahkan negeri Babilonia dan membiarkannya menjadi runtuhan selama-lamanya.

13. Aku akan menghukum Babilonia dengan semua bencana yang telah Aku rancang untuk ditimpakan kepada bangsa-bangsa ketika Aku berfirman melalui Yeremia, iaitu semua bencana yang dicatat di dalam kitab ini.

14. Aku akan membalas perbuatan orang Babilonia; mereka akan diperhamba oleh raja-raja besar dan oleh banyak bangsa.’ ”

15. TUHAN, Allah Israel berfirman kepadaku, “Inilah cawan wain yang telah diisi dengan kemurkaan-Ku. Bawalah cawan ini kepada semua bangsa, dan suruhlah mereka minum dari cawan ini. Aku mengutus engkau kepada mereka.

16. Apabila mereka minum dari cawan ini, mereka akan terhuyung-hayang dan hilang akal kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka.”

17. Oleh itu aku mengambil cawan itu dari tangan TUHAN, lalu pergi kepada semua bangsa; TUHAN telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku memberi mereka minum dari cawan itu.

Yeremia 25