23. Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja.
24. Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, kerana Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi.
25. Aku tahu semua yang dikatakan oleh nabi-nabi itu. Demi nama-Ku mereka berdusta bahawa perkhabaran-Ku telah diterima mereka melalui mimpi.
26. Sampai bilakah nabi-nabi itu akan menyesatkan umat-Ku dengan dusta yang dibuat-buat mereka sendiri?
27. Mereka berfikir bahawa mimpi-mimpi yang diceritakan mereka itu akan menyebabkan umat-Ku melupakan Aku sebagaimana nenek moyang mereka melupakan Aku, lalu menyembah Baal.
28. Nabi yang bermimpi seharusnya berkata, ‘Itu hanya mimpi.’ Tetapi nabi yang menerima perkhabaran daripada-Ku haruslah menyampaikan perkhabaran itu dengan setia. Apalah jerami jika dibandingkan dengan gandum!
29. Firman-Ku bagaikan api, dan bagaikan tukul yang menghancurkan batu.
30. Aku melawan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran daripada sesama mereka, lalu mengatakan bahawa perkhabaran itu daripada-Ku.
31. Aku juga melawan nabi-nabi yang menyampaikan kata-kata sendiri, lalu mengatakan bahawa kata-kata itu daripada-Ku.
32. Aku, TUHAN berfirman; dengarlah! Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi yang penuh dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi itu lalu menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka. Aku tidak mengutus atau memberikan arahan kepada nabi-nabi itu. Mereka sama sekali tidak berguna bagi umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
33. TUHAN berfirman, “Hai Yeremia, apabila salah seorang umat-Ku, atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apa perkhabaran TUHAN?’ Engkau harus menjawab, ‘Engkaulah beban TUHAN, kerana itu engkau akan dibuang-Nya.’
34. Jika salah seorang umat-Ku atau seorang nabi atau seorang imam menyebut perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan menghukum dia dan keluarganya.
35. Sebaliknya, setiap orang harus bertanya kepada kawannya dan kepada sanak saudaranya, ‘Apakah jawapan TUHAN? Apakah yang difirmankan TUHAN?’
36. Mereka tidak boleh lagi menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’. Jika ada orang yang masih menggunakan perkataan itu, Aku akan menjadikan perkhabaran-Ku benar-benar beban baginya. Orang sudah memutarbalikkan firman daripada Aku, Allah mereka, Allah yang hidup, TUHAN Yang Maha Kuasa.
37. Hai Yeremia, tanyalah nabi-nabi itu, ‘Apakah jawapan TUHAN kepada kamu? Apakah yang difirmankan TUHAN?’
38. Jika ada orang yang tidak taat kepada perintah-Ku itu, dan masih menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’,
39. Aku akan memungut mereka, lalu membuang mereka jauh-jauh, baik mereka mahupun kota yang telah Kuberikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.
40. Aku akan mempermalukan dan menghina mereka sampai selama-lamanya, dan kesudahan mereka tidak akan dilupakan orang.”