1. TUHAN menyuruh aku pergi membeli sarung pendek daripada kain linen lalu memakainya, tetapi Dia melarang aku mencelupkannya ke dalam air.
2. Oleh itu, aku pergi membeli sarung pendek itu, lalu memakainya.
3. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi,
4. “Pergilah ke Sungai Efrat dan sembunyikan sarung pendek itu di celah bukit batu.”
5. Kemudian aku pergi menyembunyikan sarung pendek itu dekat Sungai Efrat.
6. Beberapa waktu kemudian TUHAN menyuruh aku pergi lagi ke Sungai Efrat untuk mengambil sarung pendek itu.
7. Maka aku pergi, lalu mengeluarkan sarung pendek itu dari tempat aku menyembunyikannya. Ternyata sarung itu telah lapuk dan sama sekali tidak berguna lagi.
8. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi,
9. “Begitulah caranya Aku akan bertindak terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem. Aku akan menghancurkan keangkuhan mereka.
10. Bangsa yang jahat ini tidak mahu taat kepada-Ku. Mereka masih degil dan jahat seperti dahulu. Mereka beribadat dan mengabdikan diri kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya mereka akan menjadi seperti sarung pendek yang tidak berguna itu.