Yehezkiel 40:20-34 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

20. Kemudian lelaki itu mengukur pintu gerbang di sebelah utara yang menghadap ke halaman luar.

21. Tiga buah bilik pengawal yang terletak di sisi lorong pintu gerbang itu, tembok pemisah bilik, dan ruangan depan itu, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang timur. Seluruh lorong pintu gerbang itu panjangnya 25 meter dan lebarnya 12.5 meter.

22. Ruangan depan, tingkap-tingkap, dan ukiran pokok palma sama dengan yang terdapat pada pintu gerbang timur. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang utara itu dan di hujungnya terdapat ruangan depan yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN.

23. Berhadapan dengan pintu gerbang utara, ada sebuah pintu gerbang lain yang menuju ke halaman dalam, seperti yang terdapat di sebelah timur. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.

24. Selanjutnya, lelaki itu membawa aku ke sebelah selatan. Di situ kami nampak sebuah pintu gerbang lagi. Dia mengukur tembok dan ruangan depan di situ, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang lain.

25. Bilik-bilik di situ mempunyai tingkap-tingkap yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

26. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang selatan itu dan terdapat juga ruangan depan di hujungnya yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada tembok di bahagian dalam yang menghadap lorong itu terdapat ukiran pokok palma.

27. Di situ juga terdapat sebuah pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.

28. Selepas itu, lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang selatan. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang di sebelah luar.

29-30. Bilik-bilik pengawal, ruangan depan, dan tembok-tembok sebelah dalam, sama ukurannya dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Bilik-bilik di pintu gerbang ini juga mempunyai tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

31. Ruangan depannya menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok-tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

32. Kemudian lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang timur. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang lain.

33. Bilik-bilik pengawal, ruangan depan dan tembok-tembok dalam, sama ukurannya dengan yang ada di pintu gerbang lain. Di bilik-bilik pengawal dan ruangan depan itu terdapat tingkap-tingkap. Panjangnya lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter.

34. Ruangan depannya menghadap ke halaman luar. Ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.

Yehezkiel 40