Yehezkiel 36:21-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.

22. Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi.

23. Apabila Aku menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia kepada bangsa-bangsa - nama yang telah kamu cemarkan antara mereka - barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Aku akan menggunakan kamu untuk menunjukkan kesucian-Ku kepada mereka.

24. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan daripada setiap bangsa lalu membawa kamu pulang ke negeri kamu sendiri.

25. Aku akan memercikkan air bersih pada kamu, dan membersihkan kamu daripada segala berhala kamu dan segala sesuatu yang telah menajiskan kamu.

26. Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.

27. Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke dalam hati kamu agar kamu menurut hukum-Ku dan melaksanakan semua perintah yang telah Kuberikan kepada kamu.

28. Lalu kamu akan tinggal di negeri yang Kuberikan kepada nenek moyang kamu. Kamu akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah kamu.

29. Aku akan membebaskan kamu daripada segala yang menajiskan kamu. Aku akan memerintah gandum supaya tumbuh dengan subur sehingga kamu tidak mengalami kebuluran lagi.

30. Aku akan menambah hasil pokok-pokok buah dan hasil ladang kamu, agar tidak ada kebuluran lagi yang memalukan kamu antara bangsa-bangsa.

31. Kamu akan teringat kepada kelakuan jahat dan kesalahan yang kamu lakukan, lalu kamu akan berasa jijik terhadap diri sendiri kerana dosa dan kekejian kamu itu.

32. Ketahuilah hai Israel, Aku tidak melakukan semua itu untuk kepentingan kamu. Sebaliknya Aku hendak kamu berasa malu dan hina kerana perbuatan kamu itu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”

33. TUHAN Raja berfirman, “Setelah Aku membersihkan kamu daripada segala dosa kamu, Aku akan membenarkan kamu tinggal lagi di kota-kota kamu, dan membina semula runtuhannya.

34. Setiap orang yang telah lalu di ladang-ladang kamu nampak betapa tandusnya tanah itu, tetapi Aku akan membiarkan kamu mengusahakan tanah itu semula.

35. Lalu setiap orang akan berkata bahawa tanah yang dahulu tandus sudah menjadi seperti Taman Eden, dan kota-kota yang telah dirobohkan, dijarah, dan dibiarkan runtuh, sekarang menjadi kota berkubu dan didiami orang.

36. Barulah bangsa-bangsa jiran yang masih terselamat akan tahu bahawa Aku, TUHAN membina semula kota-kota yang telah runtuh dan mengusahakan semula tanah yang tandus. Aku, TUHAN, telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti akan melakukannya.”

Yehezkiel 36