Yehezkiel 36:12-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan.

13. Aku, TUHAN Raja berfirman: Memang benar orang mengatakan negeri ini pemakan orang, dan negeri ini menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak.

14. Tetapi mulai sekarang negeri ini tidak akan memakan orang ataupun menjadikan bangsanya kehilangan anak-anak lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.

15. Negeri ini tidak akan dihina ataupun diejek lagi oleh bangsa-bangsa. Negeri ini tidak akan menghapuskan penduduknya lagi. Aku, TUHAN Raja telah berfirman.”

16. TUHAN berfirman kepadaku,

17. “Hai manusia fana, ketika umat Israel tinggal di negeri mereka, mereka menajiskan negeri itu dengan cara hidup dan kelakuan mereka. Aku menganggap kelakuan mereka itu najis seperti wanita yang sedang haid.

18. Aku membiarkan mereka merasakan segala kemurkaan-Ku kerana mereka telah melakukan banyak pembunuhan di negeri itu, dan mencemarkannya dengan berhala-berhala mereka.

19. Aku menghukum mereka setimpal dengan cara hidup dan kelakuan mereka, lalu Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing.

20. Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’

21. Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.

22. Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi.

Yehezkiel 36