1. TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, berkatalah kepada pergunungan Israel dan suruhlah pergunungan itu mendengar perkhabaran daripada Aku,
2. TUHAN Raja: Musuh Israel mencemuh mereka dan berkata, ‘Sekarang bukit-bukit purba itu milik kita!’
3. Bernubuatlah dan isytiharkanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Ketika bangsa-bangsa jiran mengalahkan dan menjarah pergunungan Israel, mereka semua menghina Israel.
4. Oleh itu, hai gunung dan bukit Israel, anak sungai dan lembah, tempat yang sudah menjadi runtuhan, dan kota yang telah ditinggalkan oleh penghuninya serta dijarah dan dihina oleh bangsa-bangsa di sekitar, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada kamu.
5. Dalam luapan kemurkaan, Aku, TUHAN Raja telah mengutuk bangsa-bangsa jiran itu, terutama sekali Edom. Dengan suka ria dan sikap menghina, mereka merampas negeri-Ku dan padang rumputnya.
6. Oleh itu bernubuatlah kepada negeri Israel. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan dengan sangat murka kepada gunung, bukit, sungai kecil, serta lembah, kerana bangsa-bangsa itu telah menghina dan memandang rendah kepada tempat-tempat itu.
7. Aku, TUHAN Raja, bersumpah bahawa bangsa-bangsa di sekitar itu akan dihina.
8. Tetapi pokok-pokok di pergunungan Israel akan berdaun serta berbuah semula bagi kamu, hai Israel, umat-Ku. Tidak lama lagi kamu akan pulang.
9. Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula.
10. Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh.