10. Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’ ”
11. TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,
12. seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu.
13. Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.