8. Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
9. Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal.
10. Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’ ”
11. TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia.
12. Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah.
13. Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi.
14. Aku akan membuat air sungaimu jernih dan mengalir dengan tenang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.