Yehezkiel 21:18-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. TUHAN berfirman kepadaku,

19. “Hai manusia fana, lukiskan dua batang jalan yang akan dilalui raja Babilonia yang membawa pedangnya. Kedua-dua jalan itu akan bermula dari negeri yang sama. Pasanglah papan tanda di tempat jalan itu mula bercabang.

20. Papan tanda yang satu akan memberikan petunjuk kepada raja Babilonia jalan ke kota orang Amon di Raba, dan yang satu lagi jalan ke Yerusalem, kota yang berkubu di Yehuda.

21. Raja Babilonia berdiri di sisi papan tanda itu, di simpang jalan. Untuk menentukan jalan mana yang akan dilaluinya, dia akan menggoncang anak panahnya, bertanya kepada berhala-berhalanya, dan memeriksa hati binatang yang dipersembahkan sebagai korban.

22. Panah yang bertanda ‘Yerusalem’ dicabut tangan kanannya. Hal ini bererti bahawa raja harus menyusun kayu-kayu pelantak, meneriakkan pekik pertempuran, meletakkan kayu-kayu pelantak di pintu gerbang, membina tambak pengepungan, dan menggali parit-parit.

23. Penduduk Yerusalem tidak mahu percaya akan perkara itu, kerana mereka telah membuat perjanjian dengan Babilonia. Tetapi ramalan ini justeru memperingatkan mereka bahawa mereka telah berdosa dan akan ditangkap.

24. Aku, TUHAN Raja berfirman kepada mereka, ‘Dosa kamu telah diketahui orang. Semua orang tahu betapa besarnya dosa kamu. Dosa kamu kelihatan dalam setiap tindakan kamu. Sekarang sudah tiba masanya kamu dihukum dan kamu akan diserahkan kepada musuh.

25. Hai kamu pemimpin Israel, pemimpin yang jahat dan derhaka, hari penghukuman yang terakhir bagi kamu sudah dekat.

26. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Tanggalkanlah mahkota dan serban kamu. Sekarang segala-galanya berubah. Angkatlah kedudukan orang miskin. Turunkan kedudukan orang berkuasa.

27. Runtuhan! Runtuhan! Sesungguhnya Aku akan meruntuhkan kota ini! Tetapi hal ini tidak akan berlaku sebelum orang yang Kupilih untuk menghukum kota ini datang. Pada masa itu Aku akan menyerahkan kota ini kepadanya.’ ”

28. “Hai manusia fana, bernubuatlah. Beritahulah orang Amon yang telah menghina Israel bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman,‘Pedang telah dihunus untuk memusnahkan;diasah untuk melakukan pembunuhan dan berkilau seperti kilat.

29. Penglihatan yang kamu lihat itu palsu. Ramalan kamu pun dusta semata-mata. Kamu derhaka dan jahat. Hari hukuman terakhir bagi kamu sudah dekat. Pedang akan memenggal leher kamu.

30. Sarungkanlah pedang! Aku akan menghukum kamu di tempat kamu dilahirkan.

31. Kamu akan merasai kemurkaan-Ku seperti api yang menyala-nyala apabila Aku melampiaskannya kepada kamu. Aku akan menyerahkan kamu kepada orang kejam, yang terlatih untuk membinasakan orang.

32. Kamu akan musnah dimakan api. Darah kamu akan tertumpah di negeri kamu sendiri. Tiada sesiapa pun akan mengingati kamu lagi.’ ” TUHAN telah berfirman.

Yehezkiel 21