Yehezkiel 20:19-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

19. Aku TUHAN, Allah kamu. Taatilah hukum dan perintah-Ku.

20. Rayakanlah hari Sabat sebagai tanda perjanjian antara Aku dengan kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu.

21. Tetapi generasi kaum muda itu pun melawan Aku. Mereka melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku yang memberikan hidup kepada sesiapa yang mentaatinya. Mereka mencemarkan hari Sabat. Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku di padang gurun itu dan Aku hendak membunuh mereka semua.

22. Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina antara bangsa-bangsa yang telah melihat Aku membawa umat Israel keluar dari Mesir.

23. Oleh itu Aku berjanji lagi di padang gurun itu. Aku bersumpah bahawa Aku akan mencerai-beraikan mereka ke seluruh dunia.

24. Aku berbuat demikian kerana mereka telah menolak perintah-Ku, melanggar hukum-Ku, mencemarkan hari Sabat, dan menyembah berhala-berhala yang dipuja oleh nenek moyang mereka.

25. Kemudian Aku memberi mereka hukum yang tidak baik dan perintah yang tidak dapat memberikan hidup.

26. Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.

27. Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka.

28. Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka.

29. Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’.

30. Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka?

31. Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun.

32. Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.”

33-34. “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai.

35. Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka.

36. Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.

37. “Aku akan bertindak tegas terhadap kamu supaya kamu mentaati perjanjian-Ku.

Yehezkiel 20