7. Ada lagi seekor burung helang raksasa. Sayapnya lebar dan bulunya tebal. Lalu pokok anggur itu mengarahkan akar dan daunnya kepada burung helang yang kedua itu dengan harapan agar burung itu akan memberikan lebih banyak air daripada yang ada di ladang itu.
8. Padahal pokok anggur itu sudah ditanam di tempat yang subur dan berair, sehingga daun dan buahnya lebat, dan menjadi pokok anggur yang baik sekali.
9. Lalu Aku, TUHAN Raja bertanya: Dapatkah pokok anggur ini hidup dan tumbuh? Tidakkah burung helang yang pertama akan mencabut akarnya, memetik buah-buahnya, mematah-matahkan carangnya, lalu membiarkannya layu? Tidak diperlukan banyak tenaga atau bangsa yang kuat untuk melakukan hal itu.
10. Memang pokok itu telah ditanam, tetapi dapatkah pokok itu tumbuh dan membesar? Tidakkah pokok itu akan layu apabila ditiup angin timur? Tidakkah pokok itu akan layu di tempat tumbuhnya?”
11. TUHAN berfirman kepadaku,
12. “Tanyalah pemberontak-pemberontak itu sama ada mereka faham akan makna perumpamaan itu. Beritahulah mereka bahawa raja negeri Babilonia datang ke Yerusalem dan membawa raja serta pegawai-pegawai Yerusalem bersama-samanya balik ke Babilonia.
13. Dia membawa salah seorang anggota keluarga raja dan membuat perjanjian dengannya, lalu menyuruh dia bersumpah setia kepadanya. Raja Babilonia menawan pemimpin-pemimpin Yerusalem
14. agar negeri itu tidak dapat memberontak, dan untuk memastikan perjanjian itu akan ditepati.
15. Tetapi raja Yehuda memberontak dan mengirim utusan ke Mesir untuk mendapatkan kuda serta pasukan tentera yang besar. Adakah raja Yehuda akan berjaya? Adakah dia dilepaskan daripada akibat perbuatan itu? Tidak mungkin dia memungkiri perjanjian dan dilepaskan daripada hukuman!”
16. “Demi Aku, Allah yang hidup,” TUHAN Raja berfirman, “raja Yehuda akan mangkat di Babilonia, kerana memungkiri sumpah dan perjanjiannya dengan raja Babilonia yang telah melantik dia menjadi raja.
17. Bahkan tentera raja Mesir yang kuat itu pun tidak dapat menolongnya dalam peperangan ketika orang Babilonia membina timbunan tanah dan menggali parit untuk membunuh banyak orang.
18. Raja Yehuda memungkiri sumpah dan perjanjiannya. Oleh itu, dia tidak akan dapat melepaskan diri.”