1. TUHAN berfirman kepadaku,
2. “Hai manusia fana, engkau tinggal di tengah-tengah kaum pemberontak. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar, kerana mereka suka memberontak.
3. Oleh itu, hai manusia fana, kemaskan barang-barangmu dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian, dan berangkatlah sebelum gelap. Biarlah orang nampak engkau meninggalkan kota dan pergi ke tempat lain. Barangkali pemberontak-pemberontak itu akan melihat engkau.
4. Ketika hari masih terang, kemaskan barang dalam satu bungkusan untuk dibawa ke pembuangan, dan biarlah mereka nampak engkau berbuat demikian. Biarlah mereka melihat engkau meninggalkan kota pada waktu petang, seolah-olah engkau sedang menuju ke tempat pembuangan.
5. Sedang mereka memperhatikan engkau, pecahkan tembok rumahmu supaya berlubang, dan bawalah bungkusanmu keluar melalui lubang itu.
6. Biarlah mereka melihat engkau memikul bungkusanmu itu dan keluar ke tempat yang gelap dengan muka tertutup supaya engkau tidak dapat melihat jalan yang dilalui. Perbuatanmu itu akan menjadi amaran bagi umat Israel.”
7. Aku melakukan apa yang disuruh TUHAN. Pada hari itu aku mengemaskan barangku dalam satu bungkusan seperti yang dilakukan oleh seorang pelarian. Pada petang itu, waktu hampir gelap, dengan tangan aku memecahkan tembok rumahku sehingga berlubang, lalu aku keluar melalui lubang itu. Sedang orang memandang, aku memikul bungkusanku lalu meninggalkan tempat itu.
8. Keesokan paginya TUHAN berfirman kepadaku,
9. “Hai manusia fana, oleh sebab umat Israel, umat pemberontak itu bertanya kepadamu tentang hal yang sedang engkau lakukan,
10. beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Perkhabaran ini untuk raja yang memerintah di Yerusalem dan untuk semua orang yang tinggal di situ.
11. Beritahulah mereka bahawa perbuatanmu itu melambangkan hal yang akan berlaku kepada mereka. Mereka akan menjadi orang pelarian dan orang tawanan.
12. Raja mereka akan memikul bungkusannya pada waktu malam dan melarikan diri melalui lubang yang dibuat oleh mereka di tembok. Raja akan menutup mukanya sehingga tidak nampak ke mana dia pergi.
13. Tetapi Aku akan memasang jaring untuk menangkap raja. Lalu Aku akan membawa dia ke kota Babel, dan dia akan mati tanpa melihat kota itu.
14. Aku akan mencerai-beraikan semua orang di istananya, para penasihat, dan pengawal peribadinya. Aku akan memburu dan membunuh mereka.
15. Apabila Aku mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa lain di negeri-negeri asing, barulah mereka sedar bahawa Akulah TUHAN.