6. Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim.
7. Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan.
8. Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
9. Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum.
10. Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat.
11. Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, “Janganlah berzina,” juga berfirman, “Janganlah membunuh.” Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum.
12. Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia.
13. Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah.
14. Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, “Saya beriman,” jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia.
15. Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan.
16. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!” - jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya.
17. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!
18. Mungkin ada yang berkata, “Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.” Aku akan menjawab, “Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.”
19. Kamu percaya bahawa Allah hanya satu. Bagus! Roh-roh jahat pun percaya akan hal itu dan gementar kerana takut.
20. Alangkah bodohnya kamu! Adakah perlu dibuktikan bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia?
21. Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Abraham? Allah berkenan kepada Abraham kerana perbuatan Abraham, iaitu mempersembahkan Ishak, anaknya di atas mazbah, sebagai persembahan kepada Allah.
22. Kamu tidak nampakkah bahawa Abraham menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Abraham menjadi sempurna.
23. Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah.” Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Allah.