Wahyu 9:6-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka.

7. Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia.

8. Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa.

9. Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan.

10. Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan.

11. Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna “Perosak”).

12. Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang.

13. Kemudian malaikat keenam meniup trompetnya dan aku mendengar suara yang datang dari keempat-empat sudut mazbah emas di hadapan Allah.

14. Suara itu berkata kepada malaikat keenam, “Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat itu!”

15. Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun itu, untuk membunuh sepertiga daripada umat manusia.

16. Aku diberitahukan bahawa pasukan berkuda itu berjumlah 200 juta.

Wahyu 9