16. Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya.
17. Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia.
18. Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca.
19. Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud,
20. yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung.
21. Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca.
22. Aku tidak nampak rumah ibadat di kota itu, kerana rumah ibadat itu Tuhan Allah Yang Maha Kuasa dan Anak Domba.
23. Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya.
24. Bangsa-bangsa di dunia akan hidup dalam cahayanya, dan raja-raja dunia pun akan membawa kekayaan mereka ke dalam kota itu.
25. Pintu gerbang kota itu akan terbuka sepanjang hari; pintu gerbang kota tidak akan ditutup kerana tidak ada malam di situ.
26. Kebesaran dan kekayaan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu.
27. Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu.