Ulangan 4:8-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

8. Tidak ada bangsa mana pun, walaupun bangsa besar, yang mempunyai hukum seadil hukum yang sudah aku ajarkan kepada kamu hari ini.

9. Berjaga-jagalah! Pastikanlah bahawa selama kamu hidup, kamu tidak sekali-kali lupa akan perkara yang sudah kamu lihat dengan mata kamu sendiri. Beritahulah anak cucu kamu

10. tentang hari itu, ketika kamu berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu di Gunung Sinai. Pada masa itu Dia berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah umat ini. Aku mahu mereka mendengar firman-Ku supaya mereka belajar taat kepada-Ku seumur hidup, dan supaya mereka mengajar anak-anak mereka untuk taat kepada-Ku.’

11. Beritahulah anak-anak kamu bagaimana kamu datang dan berdiri di kaki gunung yang diliputi oleh awan tebal daripada asap hitam, dan oleh api yang menyala sampai ke langit.

12. Beritahulah mereka bagaimana TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api itu, dan bagaimana kamu mendengar suara-Nya tetapi tidak melihat Dia dalam bentuk apa pun.

13. Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian yang sudah dibuat-Nya dengan kamu; kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum yang ditulis-Nya pada dua buah batu tulis.

14. TUHAN menyuruh aku mengajar kamu semua hukum yang mesti kamu patuhi di tanah yang segera akan kamu rebut dan duduki.”

15. “Pada masa TUHAN berfirman kepada kamu dari dalam api di Gunung Sinai, kamu tidak melihat apa-apa bentuk pun. Oleh itu, pastikanlah supaya

16. kamu tidak berdosa dengan membuat berhala bagi diri kamu sendiri dalam bentuk apa pun, sama ada berbentuk orang lelaki atau perempuan,

17. binatang, burung,

18. binatang menjalar, atau ikan.

19. Jangan tergoda untuk menyembah dan mengabdi kepada yang kelihatan di langit, iaitu matahari, bulan, dan bintang. TUHAN, Allah kamu telah memberikan benda-benda itu kepada semua bangsa lain untuk disembah.

20. Tetapi kamu adalah bangsa yang sudah diselamatkan-Nya dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang menyala. Dia membawa kamu keluar dari negeri itu supaya kamu menjadi umat-Nya sendiri sebagaimana keadaan kamu hari ini.

21. Oleh sebab kamu, TUHAN, Allah kamu murka terhadap aku, sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang subur, yang akan diberikan-Nya kepada kamu.

22. Aku akan meninggal di sini dan tidak akan menyeberangi sungai itu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang subur itu.

23. Ingatlah baik-baik! Jangan lupa akan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu. Taatilah perintah-Nya; jangan sekali-kali membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu,

24. kerana TUHAN, Allah kamu itu bagaikan api yang menghanguskan. Dia tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.

Ulangan 4