20. Tetapi kamu adalah bangsa yang sudah diselamatkan-Nya dari Mesir, tempat yang bagaikan relau yang menyala. Dia membawa kamu keluar dari negeri itu supaya kamu menjadi umat-Nya sendiri sebagaimana keadaan kamu hari ini.
21. Oleh sebab kamu, TUHAN, Allah kamu murka terhadap aku, sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang subur, yang akan diberikan-Nya kepada kamu.
22. Aku akan meninggal di sini dan tidak akan menyeberangi sungai itu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang subur itu.
23. Ingatlah baik-baik! Jangan lupa akan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu. Taatilah perintah-Nya; jangan sekali-kali membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu,
24. kerana TUHAN, Allah kamu itu bagaikan api yang menghanguskan. Dia tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
25. Apabila kamu telah tinggal lama di negeri itu dan sudah beranak cucu, jangan berdosa dengan membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu sendiri. Perbuatan itu jahat di sisi TUHAN, dan hal itu akan menyebabkan Dia murka.
26. Pada hari ini aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu tidak taat kepadaku, kamu akan segera lenyap dari tanah itu. Kamu tidak akan tinggal lama di tanah di seberang Sungai Yordan, yang segera akan kamu duduki. Kamu akan dibinasakan sama sekali.
27. TUHAN akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain, dan hanya sedikit di kalangan kamu akan hidup.
28. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat oleh tangan manusia, tuhan-tuhan daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat atau mendengar, makan atau menghidu.
29. Di sana kelak kamu akan mencari TUHAN, Allah kamu, dan jika kamu mencari-Nya dengan segenap hati, kamu akan menemui Dia.
30. Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada TUHAN, Allah kamu dan taat kepada-Nya.
31. TUHAN, Allah kamu ialah Allah yang berbelas kasihan. Dia tidak akan meninggalkan atau membinasakan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian yang sudah dibuat-Nya sendiri dengan nenek moyang kamu.
32. Selidikilah masa lampau, lama sebelum kamu dilahirkan, bermula dari masa Allah menciptakan manusia di bumi. Periksalah seluruh bumi ini. Pernahkah perkara sebesar ini berlaku? Pernahkah sesiapa pun mendengar kejadian seperti ini?