14. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau tidak akan hidup lama lagi. Panggillah Yosua dan bawalah dia ke Khemah-Ku, supaya Aku dapat memberikan petunjuk kepadanya.” Musa dan Yosua masuk ke dalam Khemah TUHAN,
15. dan TUHAN menampakkan diri kepada mereka dalam tiang awan dekat pintu Khemah TUHAN.
16. TUHAN berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan meninggal. Setelah kepergianmu, bangsa Israel tidak akan setia kepada-Ku. Mereka akan memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan mereka. Mereka akan meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang disembah di tanah yang segera akan diduduki mereka.
17. Apabila hal itu berlaku, Aku akan murka kepada mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan mereka akan binasa. Banyak malapetaka dahsyat akan menimpa mereka; kemudian mereka akan sedar bahawa semua itu berlaku kepada mereka kerana Aku, Allah mereka, tidak lagi menyertai mereka.
18. Pada masa itu Aku tidak mahu menolong mereka lagi, kerana mereka sudah berbuat jahat dan menyembah tuhan-tuhan lain.
19. Sekarang tuliskanlah nyanyian ini dan ajarkan kepada umat Israel. Nyanyian ini akan menjadi saksi terhadap mereka.
20. Aku akan membawa mereka ke tanah yang kaya dan subur itu seperti yang sudah Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Di situ mereka akan mendapat segala makanan yang diperlukan dan mereka akan hidup senang. Tetapi mereka akan berpaling daripada-Ku lalu menyembah tuhan-tuhan lain. Mereka akan menolak Aku dan memungkiri perjanjian-Ku.
21. Banyak bencana yang dahsyat akan menimpa mereka, tetapi nyanyian ini akan tetap dinyanyikan dan menjadi saksi terhadap mereka. Bahkan sekarang pun, sebelum Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, Aku sudah tahu fikiran mereka.”
22. Pada hari itu juga Musa menuliskan nyanyian itu dan mengajarkannya kepada umat Israel.
23. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, “Engkau harus yakin dan berani. Engkau akan memimpin umat Israel ke tanah yang sudah Aku janjikan kepada mereka, dan Aku akan menyertai engkau.”
24. Musa menuliskan Taurat Allah di dalam sebuah kitab. Dia menuliskannya dengan teliti dari permulaan sampai akhir.
25. Setelah dia selesai menuliskannya, dia berkata kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN,
26. “Ambillah kitab Taurat Allah ini dan letakkannya di sebelah Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu, supaya tetap ada di sana untuk menjadi saksi terhadap umat TUHAN.
27. Aku tahu betapa degilnya umat ini. Mereka sentiasa memberontak. Mereka telah memberontak terhadap TUHAN pada masa hidupku, dan tentu mereka akan semakin memberontak setelah aku meninggal.