27. Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita.
28. Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’
29. Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana.
30. TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir
31. dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’
32. Tetapi biarpun aku berkata demikian, kamu tetap tidak mahu percaya kepada TUHAN,
33. walaupun Dia selalu berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia berada di hadapan kamu dalam tiang api pada waktu malam dan dalam tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.
34. TUHAN mendengar sungutan kamu lalu Dia murka. Dia berfirman,
35. ‘Tidak seorang pun antara kamu daripada generasi yang jahat ini akan pergi ke tanah yang subur itu, yang sudah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu.
36. Hanya Kaleb anak Yefune akan pergi ke sana, kerana dia tetap setia kepada-Ku. Aku akan memberi Kaleb dan keturunannya tanah yang sudah dijelajahinya.’
37. Oleh sebab kamu, TUHAN juga murka kepadaku lalu berfirman, ‘Musa, engkau pun tidak akan pergi ke tanah itu.
38. Tetapi kuatkanlah hati pembantumu, Yosua anak Nun, kerana dia akan memimpin Israel untuk menduduki tanah itu.’
39. Kemudian TUHAN berfirman kepada kita semua, ‘Anak-anak kamu yang masih terlalu muda untuk membezakan yang benar daripada yang salah, akan pergi ke tanah itu, iaitu anak-anak yang kamu katakan akan ditangkap oleh musuh. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka, dan mereka akan mendudukinya.
40. Tetapi kamu, berpalinglah dan baliklah semula ke padang gurun melalui jalan yang menuju Teluk Akaba.’
41. Kamu menjawab, ‘Musa, kami sudah berdosa terhadap TUHAN. Tetapi sekarang kami akan maju berperang sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kita.’ Kemudian setiap orang di kalangan kamu bersiap untuk pergi berperang, dan berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan perbukitan itu.