1. Lalu berangkatlah Tobias bersama malaikat. Anjing Tobias ikut bersama-sama mereka. Mereka berjalan terus sehingga waktu matahari terbenam, lalu bermalam dekat Sungai Tigris.
2. Tobias turun ke dalam sungai untuk mencuci kakinya. Tiba-tiba ikan yang besar melompat dari dalam air dan cuba menyambar kakinya. Dia pun berteriak,
3. lalu malaikat berseru kepadanya, “Tangkaplah ikan itu! Jangan lepaskan!”Tobias menangkapnya dan menyeretnya ke darat.
4. “Potonglah ikan itu,” kata malaikat. “Ambillah hempedu, jantung dan hatinya, dan simpanlah baik-baik, kerana itu ubat mujarab. Tapi isi perutnya harus kaubuang.”
5. Tobias memotong ikan itu. Sesudah hempedu, jantung dan hatinya dikeluarkan, ikan itu dipanggangnya. Sebahagian dimakannya, dan sebahagian lagi dimasinkannya untuk bekal.
6. Lalu mereka berdua meneruskan perjalanan mereka sehingga dekat negeri Media.
7. Tobias bertanya, “Azarya kawanku, penyakit apa yang dapat disembuhkan dengan hempedu, jantung dan hati ikan itu?”
8. Jawab malaikat, “Jantung dan hati ikan itu kalau dibakar, asapnya dapat mengusir syaitan atau roh jahat daripada orang yang kerasukan. Syaitan atau roh jahat akan pergi dengan segera, dan orang itu tak akan diganggu lagi untuk selama-lamanya.
9. Hempedu ikan itu ubat untuk orang yang matanya tertutup lapisan putih. Jika hempedu ikan itu disapu pada matanya lalu ditiup, maka lapisan akan hilang, dan orang itu sembuh.”
10. Sewaktu mereka tiba di negeri Media, dan sudah dekat kota Ekbatana,
11. Rafael berkata, “Tobias kawanku!”“Ada apa?” sahut Tobias.Kata Rafael, “Nanti kita mesti menginap di rumah Raguel. Dia kerabatmu. Anaknya hanya satu; seorang gadis bernama Sara.
12. Engkau kerabatnya yang terdekat, jadi paling berhak untuk berkahwin dengan dia dan mewarisi semua kekayaan bapanya. Gadis itu berbudi, berani, dan sangat cantik. Bapanya juga seorang yang baik hati.
13. Malam ini saya akan berbincang dengan bapanya, supaya dia mengizinkan engkau memperisteri anaknya, oleh sebab engkaulah yang paling berhak. Pesta perkahwinan akan kita adakan sesudah kita kembali dari kota Ragai. Raguel tahu bahawa engkaulah yang paling berhak memperisteri anaknya. Jadi dia tak dapat menolak pinanganmu atau memberikan anaknya kepada orang lain, kerana jika dia menolak, dia melanggar Taurat Musa dan patut dihukum mati. Jadi dengarlah nasihatku. Malam nanti saya dan Raguel akan berunding tentang gadis itu, dan kami akan mengatur pertunanganmu. Sesudah kita kembali dari Ragai, kita bawa dia pulang.”