Tobit 14:5-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Tetapi Allah akan mengasihani umat-Nya lagi dan membawa mereka pulang ke negeri Israel. Rumah Allah akan dibina semula oleh mereka tetapi tidak seindah yang dahulu, apabila genap waktunya nanti. Pada masa itu seluruh bangsa Israel akan kembali daripada pembuangan. Kota Yerusalem akan dipulihkan menjadi semegah dahulu. Rumah Allah akan dibina semula di kota itu seperti yang dikatakan para nabi.

6. Maka semua bangsa di dunia akan bertaubat. Mereka akan menghormati Allah Yang Maha Esa dan Benar, dan membuang berhala-berhala mereka yang sama sekali menyesatkan. Semua bangsa di seluruh dunia akan memuji Allah yang kekal dengan melakukan kehendak-Nya.

7. Pada masa itu Allah akan menyelamatkan seluruh bangsa Israel yang setia kepada-Nya. Mereka akan datang dan berkumpul di Yerusalem. Tanah Abraham akan diberikan kepada mereka, dan di situ mereka dapat hidup dengan aman untuk selama-lamanya. Semua orang yang mencintai Allah dengan ikhlas akan bergembira. Tetapi orang jahat dan yang berdosa akan dilenyapkan dari muka bumi.

10. Ingatlah bagaimana Nadab memperlakukan Ahikar, bapa saudaranya sendiri yang telah membesarkan dia! Ahikar hidup-hidup dimasukkan ke dalam kubur. Tetapi Allah membalas Nadab dengan kejahatannya sendiri. Ahikar keluar menuju cahaya, sedangkan Nadab turun ke dalam kegelapan kekal kerana dia mahu membunuh Ahikar. Ahikar terlepas daripada jerat maut yang dipasang oleh Nadab baginya, kerana Ahikar suka memberi sedekah kepada orang miskin. Sedangkan Nadab sendiri jatuh ke dalam jerat maut dan dibinasakan.

11. Jadi anak-anakku, kamu melihat sendiri apa yang dihasilkan oleh perbuatan baik dan apa yang dihasilkan oleh perbuatan jahat. Memang kejahatan menghasilkan kematian. Tetapi sekarang aku sudah kehabisan tenaga.”Lalu Tobit dibaringkan di tempat tidurnya dan meninggal. Dia dikuburkan dengan semestinya.

12. Sesudah isteri Tobit meninggal, dia dikuburkan di samping suaminya. Kemudian Tobias berangkat dengan anak isterinya ke Ekbatana di Media, dan menumpang dengan Raguel, mentua Tobias.

13. Tobias menghormati dan memelihara Raguel dan Edna yang sudah tua itu sehingga mereka meninggal. Mereka dikuburkan di Ekbatana. Tobias mewarisi kekayaan Raguel, sebagaimana dia sudah mewarisi kekayaan Tobit bapanya.

14. Tobias meninggal di Ekbatana sebagai orang yang terhormat pada umur 117 tahun.

15. Sebelum meninggal, dia sempat mendengar berita kehancuran kota Niniwe dan melihat penduduknya dibawa sebagai tawanan ke negeri Media oleh Siaksares, raja Media. Tobias memuji Allah kerana Dia telah menghukum penduduk Niniwe dan Asyur. Perbuatan Allah itu membuatnya bergembira dan bersyukur kepada Tuhan seumur hidupnya.

Tobit 14