Sirakh 7:4-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Jangan minta pangkat tertinggi daripada Tuhan atau kedudukan penting daripada raja.

5. Jangan berlagak tulus di hadapan Tuhan dan jangan berlagak bijaksana di hadapan raja.

6. Jangan ingin menjadi hakim, nanti engkau tidak cukup kuat untuk membanteras ketidakadilan. Jika engkau membiarkan dirimu dipengaruhi oleh orang yang berkuasa, namamu sebagai orang jujur akan dinodai.

7. Jangan lakukan kejahatan terhadap masyarakat dan jangan malukan dirimu di hadapan umum.

8. Jangan lakukan dosa yang sama hingga dua kali. Berdosa satu kali sahaja pun engkau sudah dihukum.

9. Jangan berfikir, “Allah Yang Maha Tinggi akan ingat kepada pemberianku yang berlimpah-limpah dan menerima persembahan yang kuberikan kepada-Nya.”

10. Jangan berasa jemu waktu berdoa dan jangan lepaskan peluang untuk memberi sedekah kepada orang miskin.

11. Jangan tertawakan orang yang susah, kerana Yang Maha Esa merendahkan seseorang dan meninggikannya kembali.

12. Jangan buat cerita-cerita bohong tentang saudara atau sahabatmu.

13. Jangan sekali-kali berdusta, oleh sebab dusta itu tidak mungkin menghasilkan yang baik.

14. Jangan bermulut besar dalam pertemuan rasmi dan jangan ulang perkataan dalam doa.

15. Jangan segan bertani atau melakukan kerja kasar yang lain. Allah Yang Maha Tinggi memberikan pekerjaan itu kepada kita.

16. Jangan masuk golongan orang yang berdosa; ingatlah bahawa kemurkaan Tuhan tidak ditunda-tunda.

17. Rendahkanlah dirimu sedalam-dalamnya, kerana orang yang berdosa dihukum dengan api dan ulat.

18. Jangan khianati teman demi wang, atau kawan sejati demi emas.

19. Jangan lepaskan peluang untuk memperisteri seorang yang baik dan bijaksana, oleh sebab kasihnya lebih berharga daripada emas.

20. Jangan berbuat jahat terhadap seorang pelayan yang bekerja dengan setia, atau terhadap seorang buruh yang bekerja keras bagimu.

Sirakh 7