20. Jangan berbuat jahat terhadap seorang pelayan yang bekerja dengan setia, atau terhadap seorang buruh yang bekerja keras bagimu.
21. Kasihilah seorang pelayan yang bijaksana dan janganlah batasi kebebasannya.
22. Peliharalah ternakanmu dengan baik dan simpanlah ternakan itu kalau menguntungkan engkau.
23. Didiklah anak-anakmu dan ajarlah mereka sejak kecil supaya bertatatertib.
24. Jagalah anak perempuanmu supaya tetap murni, dan janganlah terlalu manjakan dia.
25. Apabila engkau mengahwinkan dia, engkau telah menunaikan tugas yang penting. Tetapi berikanlah dia kepada lelaki yang arif.
26. Jika engkau mempunyai isteri yang baik, janganlah ceraikan dia. Tetapi jangan serahkan dirimu kepada seorang yang tidak kaucintai.
27. Hormatilah bapamu dengan segenap hatimu, dan jangan lupakan penderitaan ibumu pada waktu melahirkan engkau.
28. Ingatlah bahawa engkau anak mereka. Bagaimanakah akan kaubalas segala jasa mereka?
29. Hendaklah engkau takut kepada Tuhan dengan segenap hatimu dan hormatilah imam-imam-Nya.
30. Cintailah Penciptamu dengan seluruh kekuatanmu, dan jangan lalaikan orang yang melakukan pelayanan-Nya.
31. Agungkanlah Tuhan dan hormatilah imam-imam. Berilah mereka apa yang diperintahkan kepadamu: hasil tanah yang pertama, korban untuk mengampunkan dosa, paha binatang korban, serta semua korban dan persembahan lain yang ditentukan.
32. Tolonglah orang miskin, maka engkau akan menerima berkat Tuhan dengan limpah.
33. Hendaklah engkau bermurah hati kepada setiap makhluk hidup, dan orang mati pun jangan kaukecualikan.
34. Bersedihlah dengan orang yang sedih dan berdukacitalah dengan orang yang berdukacita.
35. Jangan segan menengok orang sakit, oleh sebab engkau akan dikasihi kerana perbuatan seperti itu.