Sirakh 6:7-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Jika engkau mahu bersahabat, jangan segera percaya kepada orang; ujilah mereka dahulu sama ada mereka setia.

8. Ada orang yang mahu bersahabat hanya kalau menguntungkan, tetapi pada masa engkau susah, mereka tidak berdiri teguh di sisimu.

9. Ada kawan yang menjadi lawan kerana pertengkaran, lalu dia mempermalukan engkau dengan menceritakannya kepada semua orang.

10. Ada juga kawan yang ikut makan bersama-sama engkau, tetapi meninggalkan engkau pada masa engkau susah.

11. Pada waktu engkau makmur, dia berlaku seperti engkau sendiri, dan memberi perintah kepada pelayan-pelayanmu.

12. Tetapi apabila engkau mengalami kemorosotan, dia berbalik melawan engkau dan menghindari engkau.

13. Jauhilah musuh-musuhmu, tetapi waspadalah terhadap kawan-kawanmu.

14. Sahabat yang setia bagaikan tempat perlindungan yang aman. Sesiapa yang mendapatkannya, menemukan suatu harta.

15. Sahabat yang setia tidak ternilai harganya, dan tidak ada yang dapat dibandingkan dengan dia.

16. Dia seperti ubat bagimu. Orang yang takut kepada Tuhan akan menemukan dia.

17. Orang yang takut kepada Tuhan dapat menjalin persahabatan sejati kerana mereka memperlakukan sahabat mereka seperti diri sendiri.

18. Anakku, terimalah pelajaran semasa engkau muda, maka engkau akan memperoleh kebijaksanaan sehingga masa tuamu.

19. Untuk memperoleh kebijaksanaan engkau harus bekerja keras seperti seorang petani yang membajak dan menanami ladangnya, barulah engkau dapat mengharapkan hasil yang baik. Memang sekarang engkau harus membanting tulang untuk sebentar, tetapi hasilnya dapat engkau nikmati dengan segera.

20. Orang yang bodoh dan tidak terdidik menganggap tuntutan kebijaksanaan terlalu sukar, dan mereka tidak bertekun untuk memperolehnya.

21. Tuntutan itu dirasakannya sebagai beban yang terlalu berat, dan dia cepat-cepat membuangnya.

22. Hal itu demikian kerana kebijaksanaan sesuai dengan namanya, dan tidak banyak orang dapat mencapainya.

23. Anakku, dengarlah dan terimalah nasihat dan pendapatku.

24. Ikatlah kakimu dengan rantai kebijaksanaan dan pasanglah koknya pada lehermu.

Sirakh 6