Sirakh 48:1-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Lalu bangkit Nabi Elia, seorang nabi yang berapi-api. Kata-katanya seperti obor yang menyala.

2. Dia mendatangkan bencana kelaparan terhadap bangsanya. Dia menyebabkan banyak orang daripada bangsanya binasa sehingga mereka tinggal sedikit sahaja.

3. Dengan kuasa Tuhan dia memerintahkan supaya hujan jangan turun, dan sehingga tiga kali dia mendatangkan api.

4. Nabi Elia, mukjizat-mukjizatmu sungguh mengagumkan. Tidak seorang pun dapat berbangga seperti engkau.

5. Dengan kuasa Tuhan Yang Maha Tinggi kauhidupkan kembali orang mati.

6. Engkau membinasakan raja-raja dan menjatuhkan orang ternama daripada kekuasaan mereka.

7. Di Gunung Sinai kaudengar teguran Tuhan, dan di Gunung Horeb kaudengar keputusan-Nya untuk menghukum musuh-musuh-Nya.

8. Engkau melantik seorang raja untuk menjalankan hukuman itu dan seorang nabi untuk menggantikan engkau.

9. Lalu engkau diangkat ke syurga dalam angin puyuh yang bernyala-nyala, dengan sebuah kereta kuda yang ditarik kuda berapi.

10. Dalam Alkitab tertulis bahawa engkau akan kembali pada waktu yang ditentukan untuk meredakan kemurkaan Allah, sebelum kemurkaan itu meledak. Juga tertulis bahawa engkau akan mendamaikan bapa dengan anak serta memulihkan suku-suku Israel.

11. Berbahagialah orang yang sempat melihat engkau datang, dan mereka yang telah meninggal dalam kasih, kerana pasti kita pun akan hidup.

12. Elia diselubungi angin puyuh, lalu rohnya menguasai Elisa. Selama hidup Elisa, dia tidak takut kepada penguasa-penguasa dan tidak dapat ditundukkan oleh sesiapa pun.

13-14. Tidak ada yang terlalu sukar baginya. Selama hidupnya dia melakukan mukjizat-mukjizat, dan sesudah meninggal pun dia masih bernubuat dan melakukan keajaiban.

15. Tetapi walaupun demikian, bangsanya tidak meninggalkan cara hidup mereka yang berdosa, sehingga mereka dibuang dari negeri mereka dan dicerai-beraikan di seluruh dunia. Daripada bangsa itu tinggal sebahagian kecil sahaja dengan seorang penguasa daripada keturunan Raja Daud.

16. Sebahagian daripada mereka melakukan apa yang berkenan kepada Tuhan, sedangkan yang lain terus berdosa.

Sirakh 48