Sirakh 47:12-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Sesudah Raja Daud, tampillah Raja Salomo puteranya yang bijaksana, dan oleh sebab jasa ayahanda baginda, baginda dapat hidup dengan tenteram.

13. Selama pemerintahan Raja Salomo tidak ada peperangan. Allah membuat segala perbatasan negeri baginda aman, sehingga Raja Salomo dapat membina Rumah Tuhan yang bertahan untuk selama-lamanya.

14. Betapa bijaksananya tuanku Raja Salomo pada masa muda tuanku! Pengertian tuanku seperti sungai yang meluap-luap.

15. Pengaruh tuanku meluas ke seluruh bumi; peribahasa dan teka-teki tuanku terkenal di mana-mana.

16. Tuanku termasyhur di seluruh dunia dan dikasihi kerana membawa kedamaian.

17. Di segala negeri tuanku dikagumi kerana lagu-lagu ciptaan tuanku, peribahasa, perumpamaan, dan tafsiran tuanku.

18. Tuanku mengumpulkan perak dan emas seperti timah, kesemuanya demi nama Tuhan Allah, yang disebut Allah Israel.

19. Tetapi tuanku jatuh kerana nafsu tuanku terhadap wanita.

20. Tuanku mencemarkan nama tuanku sendiri dan nama keturunan tuanku. Oleh sebab kebodohan tuanku, mereka dimurkai Tuhan dan diseksa.

21. Kerajaan tuanku terpecah dan pemberontak-pemberontak membentuk sebuah kerajaan di Israel Utara.

Sirakh 47