Sirakh 47:1-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Sesudah Samuel, tampillah Natan yang menjadi nabi pada masa Raja Daud.

2. Seperti bahagian berlemak daripada korban untuk memohon berkat Tuhan, iaitu korban yang dikhususkan bagi Tuhan, begitulah Raja Daud dipilih daripada kalangan orang Israel.

3. Baginda bermain-main dengan singa dan beruang seolah-olah dengan anak domba dan anak kambing.

4. Pada masa mudanya baginda membunuh seorang raksasa untuk menyelamatkan bangsanya daripada penghinaan. Kebongkakan Goliat diakhirinya dengan sebiji batu yang dilemparkan dari penghumbannya.

5. Oleh sebab doanya kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, baginda diberi kekuatan untuk membunuh askar yang gagah itu dan mengukuhkan kekuatan bangsanya.

6. Baginda dihormati kerana telah menumpas puluhan ribu musuh. Pada waktu ditabalkan menjadi raja, baginda dipuji sebagai orang yang diberkati Tuhan.

7. Baginda membinasakan semua musuh dan menumpaskan orang Filistin, sehingga mereka tidak berdaya untuk menggertak lagi.

8. Dalam semua perbuatan, Raja Daud memuji Tuhan yang suci dan menghormati Yang Maha Tinggi. Baginda mengasihi Pencipta baginda dan dengan sepenuh hati menyanyikan pujian bagi-Nya.

9. Baginda menempatkan pemain kecapi di depan mazbah untuk memperdengarkan lagu-lagu yang merdu.

10. Baginda menentukan hari-hari perayaan sepanjang tahun dan memeriahkan upacara-upacara itu. Sepanjang hari di Rumah Tuhan, berkumandang lagu-lagu pujian bagi Tuhan.

11. Tuhan mengampunkan dosa Raja Daud dan mengukuhkan kekuasaan baginda untuk selama-lamanya. Dia membuat perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunan baginda akan memerintah dengan jaya di Israel.

Sirakh 47