6. Tuhan mengangkat Harun, seorang suci seperti Musa saudaranya daripada suku Lewi.
7. Tuhan membuat perjanjian abadi dengan dia dan menjadikan dia imam bagi umat. Tuhan membahagiakan dia dengan perhiasan yang indah-indah dan memberi dia pakaian kebesaran,
8. sempurna dalam semaraknya. Harun diteguhkan juga dengan tanda-tanda kekuasaan: celana linen, jubah, dan efod.
9. Di sekeliling kelepet jubah itu ada hiasan berupa buah delima dan banyak loceng emas yang berbunyi waktu dia berjalan. Bunyinya terdengar di Rumah Tuhan dan mengingatkan Tuhan kepada umat-Nya.
10. Tuhan juga mengenakan jubah suci padanya yang disulam dengan benang emas, ungu tua, dan ungu muda buatan seorang ahli sulam, penutup dada dengan Urim dan Tumim, benang merah yang dipintal oleh seorang tukang
11. bertatahkan batu-batu permata yang diukir dengan nama-nama. Batu-batu itu diikat dengan emas pada penutup dada oleh seorang tukang emas untuk mengingatkan Tuhan kepada dua belas suku Israel.
12. Padanya Tuhan mengenakan serban dengan hiasan emas berukirkan kata-kata: “Dikhususkan bagi Tuhan”. Hiasan itu adalah karya seni yang sangat indah; sungguh suatu kehormatan besar bagi orang yang memakainya.
13. Pada zaman sebelum Harun, tidak ada barang-barang seindah itu. Selain Harun dan anak-anaknya yang turun-temurun, tidak ada yang memakainya dan tiada sesiapa pun yang akan memakainya.
14. Dua kali sehari dengan tiada hentinya, dipersembahkannya korban untuk menyenangkan hati Tuhan.
15. Musa mentahbiskan Harun dengan menuangkan minyak upacara ke atas kepalanya. Dengan itu Tuhan membuat perjanjian abadi dengan Harun dan keturunannya, bahawa mereka akan mengabdikan diri kepada Tuhan sebagai imam-imam-Nya dan memberkati umat atas nama-Nya.
16. Daripada seluruh umat manusia Tuhan telah memilih Harun untuk mempersembahkan korban dan membakar kemenyan yang harum, supaya Tuhan ingat kepada umat-Nya dan mengampunkan dosa-dosa mereka.
17. Tuhan mempercayakan perintah-perintah-Nya kepada Harun dan memberi dia kuasa untuk membuat keputusan-keputusan yang sah dengan maksud memberi kesaksian kepada Israel dan menerangkan hukum-Nya kepada mereka.