1. Daripada keturunan Yakub, Tuhan membangkitkan seorang salih yang menjadi kesayangan setiap orang. Dia dikasihi Allah mahupun manusia. Orang itu Musa, dan dia dikenang dengan puji-pujian.
2. Tuhan membuat dia seagung malaikat, dan dia ditakuti oleh musuh-musuhnya.
3. Dengan perintahnya, berhentilah bencana yang menimpa Mesir. Tuhan membuat dia dihormati oleh raja-raja. Dia menunjukkan cahaya hadirat-Nya kepadanya dan memberikannya perintah- perintah untuk umat-Nya.
4. Dari seluruh umat manusia, Tuhan memilih dan mengkhususkan Musa kerana dia setia dan rendah hati.
5. Tuhan memperdengar suara-Nya kepadanya dan membawa dia ke dalam awan yang gelap. Di sana Tuhan berfirman dengan dia secara berhadapan muka dan memberi dia perintah-perintah-Nya, iaitu hukum yang memberi kehidupan dan pengetahuan. Hukum itu diberikan kepadanya, supaya dia dapat mengajarkan perjanjian dan ketetapan-ketetapan Tuhan kepada bangsa Israel.
6. Tuhan mengangkat Harun, seorang suci seperti Musa saudaranya daripada suku Lewi.
7. Tuhan membuat perjanjian abadi dengan dia dan menjadikan dia imam bagi umat. Tuhan membahagiakan dia dengan perhiasan yang indah-indah dan memberi dia pakaian kebesaran,
8. sempurna dalam semaraknya. Harun diteguhkan juga dengan tanda-tanda kekuasaan: celana linen, jubah, dan efod.