2-5. Kita semua, mulai daripada raja yang berpakaian kerajaan dan bermahkota serta duduk di takhta yang mulia, sehingga orang yang paling hina yang berpakaian kasar dan duduk di atas debu, takut dan cemas memikirkan hari kematian kita. Seluruh kehidupan kita terus mengalami amarah, dengki, kesusahan, kecemasan, takut mati, dendam, dan perselisihan. Bahkan waktu tidur fikiran kita diganggu mimpi buruk.
17. Kebaikan hati seperti taman yang penuh berkat, dan kemurahan hati bertahan untuk selama-lamanya.
18. Hidup ini menyenangkan bagi orang yang mempunyai pekerjaan dan tidak bergantung kepada orang lain. Tetapi orang yang menemukan harta lebih beruntung daripada mereka.
19. Orang mengabadikan nama melalui keturunan mereka atau dengan mendirikan kota, tetapi lebih baik mempunyai isteri yang tidak tercela.
20. Wain dan muzik meriangkan hati, tetapi lebih baik cinta kepada kebijaksanaan.
21. Seruling dan kecapi membuat lagu yang menyeronokkan, tetapi lebih baik suara yang merdu.
22. Mata suka melihat keindahan dan kecantikan, tetapi lebih suka memandang tunas gandum di ladang.
23. Sahabat dan kawan hanya bertemu pada saat tertentu; lebih baik ikatan suami isteri.
24. Saudara dan penolong berguna pada waktu kesusahan, tetapi lebih bermanfaat kebiasaan memberi derma.
25. Emas dan perak menjamin kehidupan, tetapi lebih berharga nasihat yang baik.
26. Kekuatan dan kekayaan menggembirakan hati, tetapi lebih baik takut kepada Tuhan. Orang yang takut kepada Tuhan tidak kekurangan apa-apa dan tidak perlu mencari bantuan lain.
27. Takut kepada Tuhan seperti taman yang penuh berkat dan memberi perlindungan yang lebih baik daripada kemuliaan apa pun.
28. Anakku, jangan hidup sebagai pengemis; lebih baik mati daripada meminta-minta.
29. Kalau makananmu ditanggung orang lain, engkau belum hidup dengan sepatutnya. Engkau mencemarkan dirimu sendiri dengan menerima makanan daripada orang lain. Orang yang berakal dan terdidik tidak mahu berbuat begitu.
30. Bagi orang yang tidak tahu malu, mengemis manis di mulut, tetapi membara di dalam hati.