1. Anakku, jangan sebabkan orang miskin kehilangan nafkah dan jangan biarkan orang yang kekurangan terus berharap.
2. Jangan sakiti hati orang yang kelaparan dan jangan sesalkan hati orang yang kekurangan.
3. Orang yang sudah marah jangan lagi kautambah kesukaran mereka. Jangan menunda-nundakan waktu memberi sedekah kepada orang yang kekurangan.
6. Hal itu demikian kerana kalau dalam kesusahan hati mereka mengutuk engkau, Pencipta mereka akan mendengar permohonan mereka itu.
7. Berusahalah supaya engkau disukai umat, dan tunduklah kepada orang yang berkuasa.
8. Dengarkanlah kata-kata orang miskin dan jawablah mereka dengan ramah dan lembut.
9. Selamatkanlah orang yang tertindas daripada tangan penindas mereka dan jangan takut menjalankan keadilan.
10. Jadilah seperti seorang bapa bagi yatim piatu dan bantulah para balu. Maka engkau akan menjadi seperti anak Tuhan Yang Maha Tinggi, dan dikasihi oleh-Nya lebih daripada ibumu.
11. Orang yang mencari kebijaksanaan akan dipelihara dan diagungkan olehnya.
12. Orang yang mencintai kebijaksanaan mencintai kehidupan. Barang siapa bangun pagi-pagi untuk mencarinya akan penuh sukacita.
13. Orang yang memiliki kebijaksanaan akan diluhurkan dan diberkati Tuhan ke mana sahaja mereka pergi.
14. Orang yang berbakti kepada kebijaksanaan, berbakti kepada Allah Yang Suci, dan orang yang mencintai kebijaksanaan, dikasihi Tuhan.
15. Barang siapa mendengarkannya akan mengadili orang yang tidak bertuhan, dan barang siapa memperhatikannya akan hidup dengan tenteram.
16. Percayalah kepada kebijaksanaan, maka engkau akan memilikinya dan mewariskannya kepada keturunanmu.
17. Mula-mula kebijaksanaan menuntun engkau melalui jalan yang berliku-liku sehingga engkau takut dan gentar. Engkau diajarnya dengan seksaan, dan diuji dengan peraturan-peraturannya sehingga engkau dipercayainya.
18. Lalu tanpa menunda-nunda lagi kebijaksanaan itu datang kepadamu. Semua rahsianya dinyatakannya kepadamu dan engkau digembirakannya.
19. Tetapi jika engkau menyimpang daripadanya, engkau akan ditinggalkannya dan dibiarkan binasa.