1. Tetapi lain halnya tentang seorang yang dengan tekun dan rajin mempelajari hukum Allah Yang Maha Tinggi. Dia menyelidik kebijaksanaan orang pada zaman dahulu dan sibuk mendalami nubuat-nubuat.
2. Dia menghafalkan ajaran orang terkenal dan menyelami selok-belok perumpamaan.
3. Dia menyelidik erti yang tersembunyi dalam peribahasa dan dapat menghuraikan bahagian-bahagian yang sukar dalam perumpamaan.
4. Dia berkhidmat di kalangan orang terkemuka dan tampil di hadapan para penguasa. Dia menjelajah negeri-negeri asing kerana ingin tahu apa yang baik dan yang jahat untuk manusia.
5. Dia bangun pagi-pagi dan berdoa kepada Tuhan Penciptanya. Dengan suara lantang dia berdoa kepada Yang Maha Tinggi supaya mengampunkan dosa-dosanya.
6. Kalau diperkenan Tuhan yang agung, dia akan dipenuhi dengan pengertian. Kata-kata bijaksana mengalir dari mulutnya dan dia bersyukur kepada Tuhan dalam doa.
7. Dia akan mempunyai pengetahuan dan penilaian yang tepat, dan memikirkan rahsia-rahsia Tuhan.
8. Dia menunjukkan ajaran yang telah diberikan kepadanya, dan kebanggaannya ialah Taurat dan perjanjian Tuhan.
9. Pengertiannya akan dipuji oleh banyak orang, dan dia tidak akan dilupakan oleh sebab namanya diingat turun-temurun.
10. Kebijaksanaannya akan diceritakan oleh bangsa-bangsa lain, dan dia akan dipuji dalam kumpulan umat.
11. Kalau dia panjang umur, dia meninggalkan nama yang sangat harum, tetapi kalau dia meninggal sebelum menjadi terkemuka, hal itu cukup baginya.
12. Masih banyak buah fikiran yang hendak kusampaikan, oleh sebab aku penuh seperti bulan purnama.
13. Dengarlah aku, hai anak-anakku yang salih; berkembanglah seperti pokok mawar di tepi sungai.