Sirakh 37:6-25 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Jangan lupakan seorang kawan sejati, jangan lupa akan dia di tengah kekayaanmu.

7. Setiap penasihat menawarkan nasihatnya, tetapi ada yang memberi nasihat demi keuntungan sendiri.

8. Berhati-hatilah terhadap seorang penasihat. Selidikilah dahulu apa kepentingannya dalam perkara itu, oleh sebab dia juga memikirkan kepentingannya sendiri. Jangan-jangan dia mempermainkan engkau

9. dan berkata bahawa semuanya baik bagimu, lalu menunggu untuk melihat apa yang akan terjadi dengan engkau.

10. Jangan minta nasihat daripada orang yang mencurigai engkau, dan sembunyikanlah rancanganmu daripada orang yang iri hati terhadap engkau.

11. Jangan berunding dengan seorang wanita tentang saingannya;dengan seorang penakut tentang perang;dengan seorang pedagang tentang tawaran;dengan seorang pembeli tentang jualan;dengan seorang yang iri hati tentang terima kasih;dengan seorang yang kejam tentang kebaikan;dengan seorang pemalas tentang pekerjaan;dengan seorang buruh bermusim tentang menyelesaikan tugas;dengan seorang hamba yang malas tentang banyak pekerjaan.Jangan perhatikan nasihat apa pun yang diberikan oleh mereka.

12. Sebaliknya perhatikanlah selalu orang yang bertakwa yang kauketahui melakukan perintah-perintah Tuhan, yang sehati dengan engkau dan berasa sedih apabila engkau gagal.

13. Percayalah kepada suara batinmu, oleh sebab tidak ada yang lebih setia kepadamu daripada hatimu sendiri.

14. Kadang-kadang hati orang lebih baik dalam memberi keterangan daripada tujuh orang pengawal di menara yang tinggi.

15. Tetapi terutama, berdoalah kepada Yang Maha Tinggi agar Dia membimbing engkau untuk mengambil tindakan yang tepat.

16. Berfikirlah sebelum bertindak dan rancanglah sebelum melakukan sesuatu.

19. Boleh jadi seorang pandai mengajar banyak orang, tetapi tidak berguna bagi dirinya sendiri.

20. Boleh jadi dia pandai berkata-kata, tetapi mati kelaparan kerana dibenci orang.

21. Hal itu demikian kerana dia tidak mempunyai kebijaksanaan, maka Tuhan tidak memberi anugerah kepadanya.

22. Ada orang yang bijaksana untuk dirinya sendiri dan berkata bahawa hasil pengetahuannya dapat dipercayai.

23. Seorang yang bijaksana menjadi guru bagi bangsanya, dan hasil pengetahuannya benar-benar dapat dipercayai.

24. Seorang bijaksana sangat dipuji, dan semua orang yang melihatnya menyatakan dia bahagia.

25. Hidup manusia hanya sebentar sahaja, sedangkan umur bangsa Israel tidak dapat dihitung.

Sirakh 37