5. Mimpi, nujum, dan tenung hanya khayalan, seperti yang dilihat seorang wanita yang sedang sakit bersalin.
6. Jangan perhatikan mimpi, kecuali yang datang daripada Tuhan.
7. Mimpi telah menyesatkan banyak orang; yang percaya kepadanya akan tergelincir.
8. Taurat dapat dipenuhi tanpa mimpi yang menyesatkan, dan kebijaksanaan sudah sempurna apabila diucapkan oleh orang yang dapat dipercayai.
9. Seorang yang banyak mengembara, banyak pula pengetahuannya. Seorang yang banyak pengalamannya bercakap dengan penuh pengertian.
10. Seorang yang kurang pengalaman hanya sedikit pengetahuannya. Tetapi dengan mengadakan perjalanan, orang mengumpulkan kepandaian.
11. Dalam perjalanan-perjalanan saya, banyaklah yang saya lihat dan pelajari, lebih banyak daripada yang dapat saya katakan.
12. Seringkali saya dalam bahaya maut, tetapi diselamatkan oleh pengalaman-pengalaman itu.
13. Orang yang takut kepada Tuhan akan tetap hidup, oleh sebab mereka berharap kepada Dia yang dapat menyelamatkan.
14. Orang yang takut kepada Tuhan tidak pernah takut dan cemas, kerana Tuhan adalah harapan mereka.
15. Berbahagialah orang yang takut kepada Tuhan, oleh sebab mereka tahu siapa yang diharapkan.
16. Tuhan memperhatikan orang yang mengasihi Dia; Dia menjadi perlindungan yang kuat dan sandaran yang kukuh bagi mereka. Dia menaungi mereka daripada udara panas dan terik matahari, serta menolong dan menjaga mereka supaya tidak tersandung dan jatuh.
17. Dia membuat hati mereka gembira dan mata mereka bersinar. Dia memberkati hidup mereka dan memberi mereka kesihatan.