Sirakh 33:15-32 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

15. Pandanglah semua karya Tuhan Yang Maha Tinggi; semuanya diciptakan berpasangan, yang satu berlawanan dengan yang lain.

16. Saya sendiri datang terakhir untuk berjaga, seperti orang yang memungut apa yang ditinggalkan oleh para pemetik buah anggur.

17. Dengan berkat Tuhan saya berhasil baik seperti seorang pemetik buah anggur yang dapat mengisi tempat memerah buah anggurnya.

18. Tetapi ketahuilah bahawa saya tidak melakukan semua itu bagi diriku sendiri, tetapi bagi semua orang yang ingin belajar.

19. Dengarlah dan perhatikanlah kata-kataku, hai para pembesar bangsa dan pemimpin umat!

20. Selama hidupmu, jangan biarkan dirimu dikuasai orang lain, sama ada anakmu, isterimu, saudaramu, atau sahabatmu. Jangan serahkan milikmu kepada orang lain, nanti engkau menyesal dan harus memintanya kembali.

21. Selama hayat dikandung badan, jangan serahkan tempatmu kepada sesiapa pun.

22. Lebih baik anak-anakmu bergantung kepadamu daripada sebaliknya.

23. Hendaklah engkau mengawal segala yang kaulakukan, dan jangan biarkan namamu dinodai.

24. Berikanlah warisanmu hanya pada akhir hidupmu, kalau ajalmu sudah dekat.

25. Seekor keldai harus diberi rumput dan beban serta dipukul dengan tongkat. Seorang pelayan harus diberi makan dan pekerjaan serta ditertibkan.

26. Suruhlah pelayanmu bekerja, maka engkau dapat berehat. Kalau dibiarkan berlalai-lalai, dia akan mencari kebebasan.

27. Seekor binatang dapat dijinakkan dengan kok dan kekang; seorang pelayan yang jahat patut didakwa dan dihukum.

28. Suruhlah dia bekerja dan jangan biarkan dia lalai, kerana kelalaian membawa orang kepada kejahatan.

29. Jadi suruhlah pelayanmu bekerja semestinya, dan kalau dia tidak menurut, rantailah dia.

30. Tetapi jangan terlalu keras terhadap sesiapa pun dan jangan lakukan apa-apa yang tidak adil.

31. Jika engkau mempunyai seorang pelayan, perlakukanlah dia seperti engkau sendiri ingin diperlakukan, oleh sebab dia sudah kaubeli dengan hasil jerih payahmu.

32. Perlakukanlah dia sebagai saudaramu, kerana engkau tidak dapat hidup tanpa dia.

Sirakh 33