3. Orang kaya berjerih payah untuk menambah harta. Apabila mereka berehat, mereka menikmati kekayaan.
4. Orang miskin berjerih payah tetapi nafkah mereka berkurang. Apabila mereka berehat, mereka melarat.
5. Orang yang mencintai wang tidak terlepas daripada dosa, dan orang yang memburu harta akan tersesat.
6. Banyak orang telah jatuh kerana emas, dan mereka dibinasakannya.
7. Wang merupakan perangkap bagi orang yang mendewa-dewakannya, dan setiap orang yang bodoh jatuh ke dalamnya.
8. Berbahagialah orang kaya yang kedapatan tidak bersalah mengejar wang.
9. Tunjukkan orang seperti itu, maka kita menyebut dia bahagia, oleh sebab dia telah melakukan keajaiban di tengah bangsanya.
10. Orang yang tahan uji dapat berbangga. Siapakah yang mendapat peluang untuk berdosa atau berbuat jahat tetapi tidak menggunakan peluang itu?
11. Orang itu akan tetap hidup sejahtera dan amalnya akan dipuji oleh umat.
12. Jika engkau duduk di meja yang limpah dengan makanan, jangan rakus dan jangan berkata, “Wah, banyak sekali!”
13. Ingatlah bahawa tidak sopan menginginkan segala sesuatu yang kaulihat. Daripada seluruh ciptaan, tidak ada yang lebih rakus daripada mata. Itulah sebabnya mata mencucurkan air mata pada setiap wajah.
14. Jangan ambil apa sahaja yang kaulihat dan jangan ambil apa yang mahu diambil orang lain.
15. Hormatilah selalu orang yang makan bersama dengan engkau, dan perlakukanlah mereka seperti engkau sendiri ingin diperlakukan.