Sirakh 31:17-31 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

17. Orang yang tahu adat, berhenti makan paling dahulu. Orang yang makan dengan lahap menjengkelkan.

18. Kalau makan bersama banyak orang, jangan mula dahulu.

19. Makanan yang sedikit sudah cukup bagi orang yang tahu adat. Mereka tidak akan sesak nafas di tempat tidur.

20. Makan terlalu banyak mengakibatkan mual, sakit perut, dan susah tidur. Orang yang makan secukupnya sahaja akan tidur nyenyak dan bangun dengan segar pada pagi hari.

21. Jika engkau terpaksa makan terlalu banyak, pergilah memuntahkannya, maka engkau akan berasa lega.

22. Hai anakku, dengarlah perkataanku dan laksanakannya, dan akhirnya engkau akan menghargainya. Batasilah dirimu dalam segala pekerjaanmu, maka engkau tidak akan kena penyakit.

23. Tuan rumah yang murah hati dipuji orang, dan pujian itu dapat dipercayai.

24. Tetapi tuan rumah yang kikir dicela oleh orang di kota, dan tepatlah celaan itu.

25. Jangan jadi orang yang jaguh minum wain, oleh sebab wain telah membinasakan banyak orang.

26. Kerasnya keluli diuji dalam perapian. Begitu juga hati yang sombong diuji waktu orang bertengkar dalam keadaan mabuk.

27. Wain memberi semangat, asal diminum dengan batas. Bagaimana hidup ini andaikata tidak ada wain? Wain diciptakan untuk menggirangkan hati manusia.

28. Kalau diminum pada waktu yang tepat dan dengan sederhana, wain dapat menjadikan orang cergas dan riang gembira.

29. Tetapi kalau diminum dengan berlebihan, wain membuat orang kesal hati, marah-marah, dan suka berkelahi.

30. Kalau orang bodoh mabuk, mereka marah-marah dan merugikan diri sendiri. Tenaga mereka berkurang dan mereka mudah dilukai orang.

31. Jangan cela kawanmu yang telah minum wain bersama-samamu. Jangan hina dia sementara dia bersenang-senang. Masa itu bukan saatnya untuk mencela orang atau menuntut sesuatu.

Sirakh 31