Sirakh 3:9-23 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Rumah tangga kamu akan kukuh kalau diberkati bapa kamu, tetapi hancur kalau dikutuk ibu kamu.

10. Jangan cari kehormatan bagi diri sendiri dengan merendahkan bapa kamu, kerana kalau dia dihina, hal itu bukan kehormatan bagi kamu.

11. Sebaliknya kalau kamu menghormati bapa kamu, kamu sendiri akan dihormati; tetapi kalau kamu menista ibu kamu, kamu akan mendapat malu.

12. Anakku, tolonglah bapamu pada masa tuanya. Jangan sakiti hatinya pada masa hidupnya.

13. Maafkanlah dia, juga kalau ingatannya sudah berkurang. Jangan remehkan dia kerana engkau sihat dan kuat.

14. Kebaikan yang kautunjukkan kepada bapamu tidak akan dilupakan Tuhan, melainkan akan dihitung untuk menghapus dosa-dosamu.

15. Apabila engkau dalam kesusahan, Tuhan akan mengingat kebaikanmu. Dosa-dosamu akan hilang seperti embun pada panas matahari.

16. Anak yang meninggalkan ibu bapa atau membangkitkan kemarahan mereka, sama sahaja dengan menghina Tuhan, dan dia akan dikutuk oleh Tuhan.

17. Anakku, hendaklah engkau rendah hati dalam semua perbuatanmu, maka engkau akan dicintai oleh orang yang diperkenankan Tuhan.

18. Sekalipun engkau masyhur, hendaklah engkau merendah diri; maka engkau akan menyenangkan hati Tuhan.

20. Hal itu demikian kerana besarlah kekuasaan Tuhan, dan Dia dihormati oleh orang yang rendah hati.

21. Jangan teliti hal-hal yang terlalu sukar bagimu atau menyelidik perkara yang melebihi kemampuanmu.

22. Renungkanlah perintah-perintah yang diberikan kepadamu. Yang tidak dinyatakan Tuhan kepadamu tidak perlu bagimu.

23. Jadi jangan bersusah payah menyelidik hal-hal yang di luar bidangmu, oleh sebab apa yang dinyatakan kepadamu sudah terlalu luas untuk dimengerti oleh akal manusia.

Sirakh 3