Sirakh 28:5-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Kalau seorang manusia yang lemah menyimpan dendam, dia tidak usah mengharapkan pengampunan bagi dosa-dosanya.

6. Ingatlah bahawa suatu ketika engkau akan mati dan tubuhmu menjadi busuk. Oleh itu hentikanlah permusuhan dan taatilah semua perintah.

7. Ingatlah perintah Tuhan dan jangan berdendam terhadap sesama manusia. Ingatlah perjanjian Allah Yang Maha Tinggi dan maafkanlah kesalahan orang.

8. Orang yang menjauhi pertengkaran tidak akan banyak berbuat dosa, kerana pertikaian dikobarkan oleh orang yang panas hati.

9. Seorang yang berdosa mengacaukan persahabatan; dia menimbulkan permusuhan di kalangan orang yang hidup rukun.

10. Semakin banyak bahan bakarnya, semakin panas nyala apinya. Semakin tegar hati orang, semakin sengit pertengkaran mereka. Semakin besar kekuasaan orang, semakin hebat kemarahan mereka. Semakin banyak kekayaan mereka, semakin dahsyat ledakan geram mereka.

11. Pertikaian yang berkobar dengan tiba-tiba mengakibatkan pertumpahan darah.

12. Kalau bunga api ditiup, apinya berpijar. Kalau diludahi, apinya padam. Kedua-duanya dilakukan dengan mulut.

13. Seorang yang suka berbohong dan menyebarkan fitnah harus dikutuk kerana dia menyebabkan kejatuhan banyak orang yang hidup tenteram.

14. Seorang yang suka memfitnah menggoncangkan banyak orang dan membuat mereka mengembara dari negeri ke negeri. Kota-kota yang kuat telah dihancurkannya dan keluarga para pembesar dimusnahkannya.

15. Oleh sebab fitnah, isteri-isteri yang berbudi diceraikan dan hasil jerih payah mereka dirampas.

Sirakh 28