Sirakh 27:1-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Banyak orang berbuat dosa kerana wang, dan orang yang ingin menjadi kaya pura-pura buta.

2. Seperti pasak tertancap di antara dua batu yang rapat, begitu juga ketidakjujuran bersarang antara jual dan beli.

3. Seorang yang tidak bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan, keluarganya akan segera hancur.

4. Kalau ayakan digoyangkan, tinggallah sampahnya. Begitu juga yang kotor tinggal paling lama dalam fikiran manusia.

5. Seperti barang tembikar diuji dalam perapian, begitu juga watak manusia diuji dalam percakapannya.

6. Daripada buahnya diketahui pemeliharaan pokoknya. Begitu juga daripada tutur kata seseorang diketahui pemikiran hatinya.

7. Jangan puji seseorang sebelum mendengar jalan fikirannya, kerana itulah batu ujiannya.

8. Jika engkau mengejar keadilan, engkau pasti berhasil. Keadilan seperti pakaian kebesaran yang membuat engkau lebih tampan.

9. Burung berkawan dengan burung sejenis. Begitu juga orang yang bertabiat jujur akan berlaku jujur.

10. Seperti singa mengincar mangsa, dosa mengincar orang yang melakukan kejahatan.

11. Apabila orang salih bercakap, kata-kata mereka selalu bijaksana, sedangkan perkataan orang bodoh berubah-ubah seperti bulan.

12. Jika engkau di kalangan orang bodoh, carilah kesempatan untuk pergi, tetapi jika engkau di kalangan kaum cerdik cendekia, tinggallah selama mungkin.

13. Kata-kata orang bodoh menyakitkan hati; mereka tertawa di tengah keriangan dosa.

14. Sumpah serapah mereka membuat bulu roma orang menegak. Kalau mereka mula bertengkar, lebih baik menyumbat telinga.

15. Caci maki mereka membuat orang tersinggung, dan pertikaian mereka yang angkuh mengakibatkan pertumpahan darah.

Sirakh 27