Sirakh 25:3-16 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. Apa yang tidak dipelajari pada masa muda tidak mungkin didapati pada masa tua.

4. Pertimbangan yang tepat dan nasihat yang baik sesuai dengan orang tua yang beruban.

5. Kebijaksanaan, pengertian, dan nasihat sesuai dengan orang terhormat yang lanjut usia.

6. Mahkota orang tua-tua ialah pengalaman yang banyak, dan takut kepada Tuhan adalah kebanggaan mereka.

7. Sembilan macam orang kuanggap bahagia, dan yang kesepuluh kupuji bahagia, iaitu:seorang yang bergembira kerana anak-anaknya,seorang yang dalam hidupnya sempat melihat kejatuhan musuhnya,

8. seorang yang mempunyai isteri yang arif,seorang yang tidak berdosa dengan mulutnya,seorang yang tidak melayani majikan yang tidak wajar dihormati,

9. seorang yang mendapat pengertian,seorang yang didengarkan dengan penuh perhatian ketika dia bercakap.

10. Betapa besarnya orang yang mendapat kebijaksanaan!Tetapi yang paling besar daripada semuanya ialah orang yang takut kepada Tuhan.

11. Orang seperti itu tidak ada taranya, kerana takut kepada Tuhan adalah hal yang paling tinggi di dunia.

13. Tidak ada luka yang lebih teruk daripada luka hati. Tidak ada kejahatan yang lebih berat daripada kejahatan seorang perempuan.

14. Tidak ada penderitaan yang lebih berat daripada yang disebabkan oleh pembenci. Tidak ada dendam yang lebih dahsyat daripada dendam musuh.

15. Tidak ada bisa yang lebih berbahaya daripada bisa ular, dan tidak ada kemarahan yang lebih berbahaya daripada kemarahan musuh.

16. Lebih baik tinggal serumah dengan singa dan naga daripada tinggal dengan isteri yang jahat.

Sirakh 25