8. Orang yang berdosa, orang bongkak, dan pemfitnah terjerat oleh kata-kata mereka sendiri.
9. Jangan biasakan diri untuk bersumpah dan menyebut nama Allah yang suci.
10. Seorang hamba yang sentiasa disebat tidak akan terlepas daripada bilur-bilur. Begitu juga orang yang terus-menerus bersumpah demi nama Tuhan tidak akan dibersihkan daripada dosa.
11. Seorang yang sering bersumpah banyak dosanya, dan rumah tangganya tidak akan terlepas daripada seksaan. Kalau dia bersalah, dia dibebani dosanya. Kalau dia meremehkan kesalahannya, dosanya berganda. Kalau dia bersumpah dusta, dia tidak dapat diampuni dan keluarganya akan ditimpa bencana.
12. Ada suatu cara bercakap yang dapat disamakan dengan maut. Semoga di kalangan orang Israel tidak ada yang bercakap demikian. Orang salih menjauhi kelakuan semacam itu dan tidak berkubang dalam dosa.
13. Jangan biasakan diri bercakap kasar dan kotor, oleh sebab hal itu dosa.
14. Ingatlah bapa dan ibumu pada waktu engkau berkumpul dengan orang terkemuka. Jangan sampai engkau lupa diri lalu dipermalukan di hadapan mereka kerana kebiasaanmu yang buruk. Nanti engkau mengutuk hari kelahiranmu dan ingin agar engkau tidak pernah dilahirkan.
15. Seorang yang sudah biasa menggunakan bahasa yang tidak senonoh tidak dapat diperbaiki seumur hidupnya.
16. Ada banyak cara untuk menambah dosa, tetapi yang satu ini mendatangkan kemurkaan Tuhan. Nafsu berahi seperti api yang berkobar-kobar dan tidak dapat dipadamkan sehingga habis. Seorang yang berbuat cabul dengan hawa nafsu yang kuat tidak akan berhenti sehingga api itu membakarnya.
17. Bagi seorang penggoda, setiap wanita menimbulkan nafsu berahi dan selama hidupnya, dia tidak dapat dipuaskan.
18. Seorang suami yang berzina berfikir, “Siapa yang melihat aku? Di sini gelap; aku dilindungi tembok dan tiada yang melihat. Tak usah takut. Yang Maha Tinggi pun tidak menghiraukan dosaku.”
19. Orang itu hanya takut dilihat manusia. Dia tidak sedar bahawa mata Tuhan sepuluh ribu kali lebih terang daripada matahari. Tuhan melihat segala perbuatan manusia dan mata-Nya menembus hingga ke sudut yang paling tersembunyi.
20. Dia tahu segala-galanya, sebelum dan sesudah menciptakannya.
21. Orang yang berdosa itu akan ditangkap pada saat yang tidak disangka-sangka dan dihukum di hadapan umum.