Sirakh 23:1-11 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Ya Tuhan, Bapa dan Penguasa hidupku, jangan biarkan aku dikuasai dan dicelakakan oleh kata-kataku.

2. Semoga fikiranku dikendalikan dengan cemeti kebijaksanaan untuk menertibkan hatiku. Aku tidak mahu dibiarkan kalau aku salah, dan aku tidak ingin satu dosa pun terlepas daripada pengawasan-Nya.

3. Maka kesalahan dan dosaku tidak akan bertambah-tambah. Aku tidak akan jatuh ke tangan musuh dan ditertawakan mereka.

4. Ya Tuhan, Bapa dan Allah hidupku, jagalah aku supaya tidak menjadi bongkak.

5. Lindungilah aku daripada keinginan jahat.

6. Jangan biarkan aku dikuasai ketamakan dan nafsu berahi. Jangan serahkan aku kepada nafsu-nafsu yang memalukan.

7. Anak-anakku, dengarlah ajaranku tentang tutur bahasa yang betul. Orang yang mengikuti ajaranku tidak akan terjebak.

8. Orang yang berdosa, orang bongkak, dan pemfitnah terjerat oleh kata-kata mereka sendiri.

9. Jangan biasakan diri untuk bersumpah dan menyebut nama Allah yang suci.

10. Seorang hamba yang sentiasa disebat tidak akan terlepas daripada bilur-bilur. Begitu juga orang yang terus-menerus bersumpah demi nama Tuhan tidak akan dibersihkan daripada dosa.

11. Seorang yang sering bersumpah banyak dosanya, dan rumah tangganya tidak akan terlepas daripada seksaan. Kalau dia bersalah, dia dibebani dosanya. Kalau dia meremehkan kesalahannya, dosanya berganda. Kalau dia bersumpah dusta, dia tidak dapat diampuni dan keluarganya akan ditimpa bencana.

Sirakh 23